Madah Musim Exam

terdiam menyepi, tiada kata terluah..
hanya jari bergerak, menolak dakwat keluar dari batang pena. yang ditulis dalam bahasa terindah, yang tertanya masih belum terjawab..

detik masa yang bergerak, membawa degup jantung kencang bersama. yang diimpi adalah ingatan yang kuat, tapi realitinya masih banyak yang perlu dikerja.

antara pengalaman kelam silam, membawa diri terus ke hadapan, supaya kelak tiada silap lalu diulang-ulang dan terus diulang.

Hari Bernama Semalam…

merenung balik perjalanan silam, pada ujian yang menyesakkan dada, disangka perjalanan sudah dihujung, kelam tanpa arah tuju..
tapi rupa-rupanya Allah keluarkan kita dari kegelapan permasalahan itu, dan kita melihat diri pada hari ini, masih bernafas, masih tersenyum…

betapa kadang2 bila semangat kian pudar, putus asa mula berselubung, mungkin yang kurang pada diri adalah kiriman doa.

antara berkata,”Ya Allah, aku ada masalah”… atau berkata, “untuk masalah, aku sentiasa ada Allah.”

perjalanan hidup yg berliku tak selancar orang lain, itu lah plot sayembara kehidupan yang epik, punya kisah tersendiri untuk diolah dan dipelajari..

Plot Sebuah Susunan…

yang tercabar itu emosi, tapi yang kuat itu jiwa.
yang menyesakkan itu akal, yang merasionalkan itu jiwa.
usah ditangis masa berlalu, peluang-peluang yang masih ada, apa telah kita persiapkan?

jalanan mudah itu melembikkan diri, sedang yang payah itu manis.
yang nyaman itu membawa kantuk pada mata, sedang tegang itu membawa jaga dalam sedar.
andai tidak diasak pada satu sudut ruang perasaan,usah ditenang damai menyangka segalanya lancar tanpa titik klimaks.

maka dalam plot bernama erti sebuah kehidupan, jalan penceritaannya bagaimanakah?

Travelog Budak Gemuk : Angka-Angka Itu…

Suasana di wad Hospital Putrajaya malam itu agak riuh. Riuh dengan suara kanak-kanak menangis, riuh dengan suara seorang lelaki yang merintih kesakitan dek kerana terjatuh dari tingkat 1 bangunan. Ditambah lagi dengan kekalutan nurse yang berlari ke sana ke mari dalam keadaan kecemasan itu.

Anak muda itu terlantar. Terbaring di atas katil besi berselimut putih yang masih bersih. Sebotol air tergantung di sebelah katil. Wayarnya menjalar ke bawah dan bersambung dengan jarum yang telah terbenam di belakang tapak tangannya.

2 jam yang lalu, anak muda itu dikejarkan ke hospital. Kerna tiba-tiba ada darah yang keluar dari hidungnya, dan darah juga hadir dalam urinnya. Tekanan darahnya pada awal-awal diambil mencatat setinggi 160/100mmg Hh (normal adalah 120/80mm Hg). Anak muda itu sedar, sisa-sisa malam yang masih berbaki akan dihabiskan di dalam wad hospital. Cuba melelapkan mata, tapi apakan daya, kerunsingan yang bermain dalam fikiran menghalang diri dari terlena. Letih, walau letih dengan ke sana ke sini sejam yang lalu untuk pelbagai ujian. Ujian air kencing, ujian x-ray, dan bermacam-macam lagi. Tapi sedikit,  keletihan yang terkumpul itu tidak melelapkan matanya dengan lena, walau dia terjelepuk di atas katil sebagaimana pesakit yang lain. Fikirannya menerawang dalam kedinginan pendingin hawa hospital, membawa fikiran jauh melayang memikirkan dirinya sendiri…

Terlantar di wad kecemasan Hospital Putrajaya, (0.9% NaCl solution sedang dimasukkan ke dalam badan)

Terlantar di wad kecemasan Hospital Putrajaya, (0.9% NaCl solution sedang dimasukkan ke dalam badan)

—————————————————————————————————————

Seorang anak muda berumur 20 tahun, dengan berat badan mencapai 106kg. Tekanan darah setinggi 140/90mm Hg. Kadar denyutan nadi (pulse rate) sentiasa terdiri daripada 3 angka, serendah-rendah 100 denyutan per minit dalam keadaan relax, hingga setinggi 110 denyutan per minit. Saiz seluar sebesar 41, andai seluar di sesetengah pasaran tidak muat 41, terpaksa yang bersaiz 42 menjadi koleksi di rak pakaian di bilik.

Malam-malam yang menghiasi hari-harinya mudah diisi dengan gejala pening, pening dalam erti kata yang sebenar, pening yang membawa diri terbaring di atas katil, menghilangkan manfaatan masa untuk belajar dan menyiapkan tugasan itu ini, hambatan dateline untuk Extended Essay (EE) sebanyak 3000 patah perkataan, hambatan esei Theory of Knowledge(TOK) yang perlu difalsafahkan segalanya dalam 1600 patah perkataan, hambatan lab report subjek Biology dan Chemistry yang perlu dihantar setiap minggu, dan kekangan masa untuk duduk menghadap buku rujukan untuk ditelaah dalam sisa-sisa hari sebelum final exam bagi International Baccalaureate (IB) di Kolej Mara Banting.

Setiap hari Rabu, seawal 8 pagi, anak muda ni terpaksa ke klinik kesihatan Bukit Changgang untuk sesi medical check-up tekanan darahnya. Sering, ekspresi terkejut pada raut wajah pegawai kesihatan yang memeriksa tekanan darahnya itu umpama sudah lali baginya, tiada lagi rasa kurang senang. Separuh dos pil darah tinggi yang dipotong dua dan sebotol air kosong menjadi penutup menu makan tengah harinya.

Seawal umur 20 tahun, dengan keadaan fizikal diri yang bukan biasa-biasa. Langsung tidak berstamina kerna segala aktiviti siang harinya perlu di-limitkan semata-mata tidak mahu menanggung seksa sakit kepala dan pening di malam hari dek tekanan darah yang kan melambung tinggi hanya kerna aktiviti sedikit lasak yang memenuhi masa di petang hari.

Seawal umur 20 tahun, fiziologi badannya langsung tidak menggambar diri umpama seorang anak muda yang baru ingin kenal dunia. Tekanan darahnya, berat badannya, denyutan nadinya, ukur lilit pinggangnya, dan segala sakit yang perlu ditanggung, seolah-olah mampu mengalahkan seorang pak cik tua yang berumur 60 tahun.

Apakah mahu mati sebelum usia cecah 40 tahun?

Teringat coretan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam blognya sebelum ini:

“Mati kerana terlibat dalam kemalangan, mati kerana ditimpa bencana alam, itu adalah mati yang tidak dapat dielakkan, mati dengan mengejut. Tapi mati disebabkan oleh kegemukan, itu adalah jenayah terhadap diri sendiri. Membunuh diri!

Umur baru bertatih dengan angka 2 dihadapan, baru bertatih dengan definisi kenikmatan jalan dakwah, tapi dicacatkan pula dengan pernah dimasukkan ke Hospital Putrajaya satu malam kerna hidung berdarah, dan darah dalam urin. Semuanya gara-gara tekanan darah yang terlajak laju dari fizikal badan, apakah mahu ditimpa serangan angin ahmar (stoke) menjelang umur 30 tahun?

Kegilaan apakah ini?

Kegemukan. Ada setengah orang, kegemukan itu tiada sebarang kesan buruk pada dirinya. Tekanan darahnya normal, degupan jantungnya normal, kandungan gula dalam darahnya normal, keadaan dirinya normal, dan segalanya adalah normal untuk dirinya.

Tapi kegemukan yang pernah dialami ini, bukan setakat membantutkan aktiviti harian, malah hampir-hampir sahaja meragut nyawanya bersama pergi.

Apakah mahu membunuh diri?

Nota Ringkas:

Siri penulisan dalam beberapa artikel akan datang, tajuknya akan dimulakan dengan ‘Travelog Budak Gemuk’. Satu penulisan coretan diri dan pengalaman diri dalam membawa diri pulang ke asal, pulang ke pangkal jalan sebagaimana manusia lain yang sihat dalam erti kata sihat yang sebenar.

Sekadar coretan diri ini, untuk dikongsi bersama, untuk dinilai bersama, dan sama-sama kita memajukan diri. Dan semestinya, untuk motivasi diri ini sendiri kerna jalanan membawa diri ini adalah satu jalan yang masih panjang. Kiranya penulisan boleh menjadi satu rujukan jiwa sendiri tatkala diri mula terasa letih dan bibit putus asa mula berlegar dalam kepala.

Doakan, kerna jalanan ini masih panjang. Alhamdulillah atas segala usaha yang diperjuangkan, kebaikan dan hasil yang sedikit sudah berjaya dituai, dan ingin dikongsi buat kita bersama, buat bekalan kita bersama.

Perjalanan membuang lemak ‘jahat’ yang membalut fizikal diri, bukan perjalanan sekadar menguruskan diri, tapi satu perjalanan membaiki iman dan ketaqwaan. Travelog yang masih panjang.

Travelog Seorang Budak Gemuk…

**bersambung**

—————————————————————————————————————

Kisah sebenar perihal dimasukkan ke Hospital Putrajaya dan retetan perjalanannya boleh dibaca di sini(klik).

Kering di Jalanan Yang Basah…

Di jalanan yang basah ini, kadang-kadang kita tak sedar diri kita sedang kering.

Kering yang bukan sekadar kering, tapi kering kontang.

Iya, tutur bicara mungkin menampakkan kebasahan, tapi kecamuk hati hanya diri yang tahu.

—————————————————————————————————————

Kadang-kadang dalam kita mentangkaskan diri di arena dakwah, kita tidak sedar bahawa ada satu tahap, kita telah mengalami kekeringan. Iya, mungkin dari sudut tutur bicara kita, dari sudut seni penulisan, tampak gah, tampak seolah-olah hampir kepada sempurna. Tapi, dalam diri, kering, kosong, kita tidak sedar diri kita sedang kering di jalanan dakwah ini.

Di manakah silapnya? Di jalanan tarbiyah yang penuh kebasahan hati, tiba-tiba diri kita boleh kering…

Kekeringan hati, bermasalah, atau dalam bahasa yang manja bunyinya, F.U.T.U.R, itu bukan satu benda yang nikmat. Carilah pada keseronokan sementara, tapi manakan mampu menandingi tenangnya hati di kala kita mampu membasahkan hati.

Andai yang menggerakkan kereta itu terletak pada petrolnya, maka jadilah kita hambaNya yang digerak oleh keimanan, bimbang dalam kita melaung itu ini, kita hanya hambar pada semangat. Semangat yang kosong tanpa dilandaskan iman, maka impak utamanya akan berlaku pada tindak tanduk kita, dan pada kosistennya kita pada bergeraknya kita.

Allahurrabi, jangan Engkau tarik hati kami setelah Engkau berikan hidayahMu kepada kami. Jangan engkau biarkan hati kami berseorangan dalam menempuhi jalanan ini.

Futur, bukan berlaku dalam satu malam. Murtad, juga bukan berlaku dalam satu malam. Tapi kesemuanya adalah ‘cumulative’, yang terkumpul sedikit demi sedikit, hingga kemuncaknya ia mempengaruhi keseluruhan pemikiran, tindakan kita, malah hati kita. Maka yang berlaku, kita melarikan diri dari jalanan tarbiyah.

Melarikan diri dari tarbiyah, seolah-olah kita terlupa dalam titisan air mata yang keluar setelah kita sedar siapa kita di Bumi ini suatu ketika dahulu. Terlupa bulu roma yang tertegak semasa awal-awal pengenalan ISK. Terlupa esak tangis kita bila faham legasi Syahadatul Haq. Terlupa, terlupa segalanya…

Maka di kala terlupa kesemua itu, carilah kembali dalam diri, membawa hati pulang menemui Allah. Andai dapat dipastikan di mana puncanya, cantaslah ia sebelum akarnya jauh tertanam merobek hati, menghirup segala kebasahan hati hingga kering kontang diri kita.

Lupakah pada hadis pertama dalam Hadis 40 Imam Nawawi, betapa lelaki itu mudah terpesong niatnya hanya kerna seorang wanita yang dia pertaruhkan hatinya, jiwanya, perasaannya, emosinya?

Kelab Alumni Ikhwah, semoga tidak menyertainya, apatah lagi terlintas dalam hati untuk mendaftarkan keahlian.

Nauzubillah!!!

Trend Penulisan Memaksa…

 Image

“Tolong sebarkan jika anda sayangkan islam!”

“Jika anda sayangkan Islam, sila sebarkan!”

“Awas, maklumat penting. Sebarkan kepada saudara-mara islam yang lain!”

“Klik butang Share jika anda masih cintakan islam.”

Dan banyak lagi susunan kata sedemikian, yang membawa maksud hampir sama dengan statement di atas.

——————————————————————————————————————————————

Lambakan penulisan yang memaksa, sama ada satu kemurnian untuk kita, atau sekadar satu jenis penyampaian nasihat yang memaksa. Hanya memberi kata putus, dan yang lebih menyeramkan, tatkala konsep generalisasi  digunakan.

“Kalau kamu tak buat cara A,
maka kamu adalah golongan B”

Dan dari situ, maka lahirlah golongan-golongan yang hari ini, kebelakangan ini, dan lebih spesifik lagi, pada saat ini, ‘ustaz-ustazah’ yang laju menyentuh butang Share.

“Ahhhh…Sebarkan dulu, sahih dan benar belakang cerita.”

“Ahhh…Cerita ni kisah tentang seorang pelajar Muslim di Amerika yang berdebat dengan seorang paderi kat gereja, ini sunggut mantap! Paderi tu bertanya 50 soalan, dia mampu jawab kesemua itu hanya dengan 6 soalan ajer.”

Sebarkan cepat, lagi cepat lagi bagus!

Aduhaiii…

Seram melihat kepada trend nak hasil cepat-cepat ini. Satu pemahaman yang jenis usaha sikit dan senang, tapi hasil mesti cepat, tanpa mempedulikan ketepatannya. Walaupun pada awalnya, niatnya adalah untuk membaikkan islam.

Dan ini tidak menghairankan ramai antara kita yang terjebak dengan skim cepat kaya, dengan perniagaan MLM, dengan business yang entah dari mana, klik butang sekian-sekian, dapat RM1000. Dan menyedihkan lagi, ada pula yang percaya dengan khabar jenis ini.

Tidak pasti, sama ada ini adalah masalah sikap, atau simpton kepada masalah dalaman yang lebih besar.

——————————————————————————————————————————————

Itu belum lagi dicampur dengan lambakan kisah-kisah ajaib yang sedang tersebar dengan meluas pada masa ini. Dengan penularan kisah satu kem tentera di negara yang ‘entah-berentah namanya’, masuk islam hanya kerana si pegawai atasan yang membuli seorang askar bawahan beragama islam supaya memandu sebuah jip yang tak berenjin, tiba-tiba jip itu bergerak dan meluncur seperti biasa. Dikatakan terkedu semua yang melihat, lantas masuklah islam semuanya.
Dan seperti biasa, sahih atau tidak, itu belakang cerita, sebarkan itu lagi penting, kerna dalam kepala yang berfikir, “Ini baik untuk umat!”

Sedangkan…
Saya ulang sekali lagi, S.E.D.A.N.G.K.A.N..
Allah SWT awal-awal dah bagi satu guide yang agak jelas lagi terang dan bersuluh kepada kita dalam menilai sesuatu berita.

   

Image

“Wahai orang-orang beriman, jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita,
maka TELITILAH KEBENARANNYA,
agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan(gelojoh), yang akhirnya kamu menyesali perbuatan kamu itu!”
(Hujurat 49:6, page 516)

Ada dibincangkan tentang maksud asal ayat ini, dan ianya bukan di-apply hanya untuk orang yang fasik semata-mata, malah untuk kesemua berita, kisah dan segala bentuk khabar yang kita dapat, lebih-lebih lagi apabila ianya adalah khabar angin!
Pesanan untuk kita sendiri, janganlah terlalu gelojoh, terlalu cepat dalam mempercayai sesuatu, kerna islam itu adalah satu jalan hidup yang amat-amatlah mementingkan intelektual umatnya dalam menilai dan berfikir. Secara jelas dalam surah al-Hujurat di atas, kita dapati Allah SWT menyuruh kita teliti dalam segala benda, apatah lagi bila ianya melibatkan orang lain, kerna bimbang kita akan menghukum dalam erti kata lain melabel orang lain hanya kerana sikap kita yang gelojoh, dan akhirnya kita sendiri yang akan menyesal dengan sikap sebegini.

Bila saya pernah usulkan tentang perkara ini suatu ketika dahulu, pernah ada segolongan yang menegur, katanya saya seolah-olah menyusahkan penyebaran hadis. Nauzubillah, tidak sama sekali, bahkan sekali-kali tidak. Tidak pernah terlintas untuk berbuat sedemikian rupa.
Perkara ini dibangkitkan, kerana kita semua rasanya masih baru terasa, dan mungkin ada antara kita yang masih terbaca tentang satu ‘hadis’ yang entah-berentah dari mana sumbernya, dari mana periwayatnya, Bukharikah? Muslimkah? Abu Daudkah? Atau main hentam dengan memilih jalan ikut suka hati.


Image

Tertanya, mat jiwang manakah yang membuat hadis ini?
Kalau dibaca dengan menggunakan hati dan akal yang sejahtera pun kita dapat rasakan ada something wrong di situ.

——————————————————————————————————————————————

Ada yang pernah bertanya, bagaimana seandainya mereka pernah terlajak dalam mengabaikan konsep ini. Pernah tersebar benda-benda yang tidak sahih dan karut-marut ini.

Ada yang pernah bercerita, sewaktu zaman sekolahnya, pernah dapat berita bahawa di Mekah telah berlaku perkara sekian-sekian, menandakan bahawa kiamat akan berlaku dalam beberapa bulan atau dalam beberapa tahun lagi. Dan ramai yang menangis, bertaubat beramai-ramai, tapi tiada seorang pun yang mempertikaikan kesahihan benda itu.

Bagi saya, iya kita sendiri mungkin tidak tahu. Cara kita berfikir, ilmu kita, pengalaman kita, sikap kita, pemahaman kita yang 2-3 tahun terdulu amat berbeza dengan apa yang kita ada sekarang. Yang sudah terlajak terlepas itu biarkan. Cuma dalam keadaan sekarang, kita semakin tahu, kita semakin celik dengan benda-benda sebegini, maka praktikkanlah. Kita membesar, didewasakan oleh masa, dimatangkan oleh pengalaman, kita membaca, dan kita belajar, kan?

Sebab kalau nak bicara perihal kisah dulu-dulu, saya sendiri masih teringat tentang majalah islamik sekolah saya sendiri, dan saya sendiri pernah termasuk dalam golongan-golongan penyumbang kecil-kecilan. Habis kesemua fakta merapu yang pernah ada disiarkan dalam majalah itu. Dan koleksi siri-siri majalah itu, ada beberapa darinya masih tersimpan rapi di rak di rumah saya. Terasa nak bercucuran air mata juga tatkala baca balik apa yang pernah disiarkan dalam majalah itu.

Tapi sebagaimana yang kita perkatakan tadi. Kita semakin membesar, semakin matang, kita belajar. Usah diulang kesilapan-kesilapan lalu. Dan sekarang kita semakin tahu, kita beritahu pula perkara-perkara ini, tentang mengamalkan sikap tabayyun(teliti) kepada sahabat-sahabat kita, kepada keluarga kita, dan kepada siapa sahaja kenalan kita.
Bukan apa, bimbang juga suatu hari nanti, diri saya sendiri, Allah SWT tanya kepada saya, kenapa tidak beritahu perkara ini kepada orang lain? Dan orang lain yang tidak tahu itu, mereka takkan dipersalahkan, sebab mereka tidak tahu.
Tapi bagi kita yang sedar ini, ayuh kita sedarkan orang lain pula. Semoga ini kan menjadi medan amal untuk kita untuk memperbaiki umat. Biarlah dalam sekecil mana usaha yang bercambah dari diri kita, permulaan kepada sesuatu itu adalah datangnya dari niat, kerana Allah dan Rasul.

Memulakan satu perubahan kecil dengan minda yang faham itu sangat-sangat bernilai,  bukan?

p/s: perkataan tabayyun(teliti) itu boleh ditemui dalam ayat 6, surah al-Hujurat di atas sana, disebut sebagai fatabayyanu.

p/ss: antara penulisan yang teliti dan penulisan yang caca merba, kita dapat lihat dan bezakan mana satu antara dua. dari segi menyatakan sumbernya, hujahnya yang tidak melampau, dan banyak lagi…

Abe Am @ Ikram Mohd Noor

Ajaibkah Itu? Yang Ini Pelik Tapi Benar Takk???

Image

A: MasyaAllah!!
B: Apesal?

A: Ni, cuba tengok nih. Pokok-pokok ni membentuk kalimah Allah dan Muhammad.
B: Mana?

A: Ni, cuba tengok betul-betul susunan pokok ni, hebat sangat. Jadi kalimah Allah Muhammad.
B: Astaghfirullah.. ini mantap sangat nih.

Dan selepas itu, laju butang ‘Share’ di fb ditekan, disebar kepada sahabat2.

——————————————————————————————————————————–

“Wuish, dahsyatnya ikan nih. Ada jelas kalimah Allah di situ!”, terpegun seorang anak muda yang sedang melayari internet setelah terjumpa gambar ikan yang mempunyai sisik yang membentuk kalimah Allah.

“Eh, sarang lebah ni menyusun perkataan Allah dan Muhammad. Mesti penternak lebah ni seorang yang beriman.”, fikir seorang Facebooker.

“Subhanallah. Neil Amstrong mendengar laungan azan masa ekspedisinya ke bulan masa tahun 1969.”

Dan banyak lagi kisah-kisah yang sama waktu dengannya yang terpampang di dada akhbar, yang terpampang di skrin komputer. Walau skrin monitor itu telah berubah dari zaman komputer sebesar almari, hingga ke zaman skrin komputer itu boleh dimasukkkan ke dalam poket seluar jeans kita sendiri.

Antara benda yang agak merugikan sedang melanda umat islam hari ini, khususnya bumi Malaysia sendiri, adalah ke-obses-an kepada perkara-perkara ajaib dan ‘mukjizat’ yang berkaitan dengan kalimah Allah, kalimah Muhammad, dan lain-lain lagi.

Rugi.
Sebab apa rugi?

Seandainya kita hanya menjadikan diri kita semakin beriman kepada Allah dengan melihat kepada perkara-perkara ajaib untuk menambahkan keimanan, maka apakah bezanya kita dengan umat-umat terdahulu?
Bani Israel khususnya.

Dan bila dirujuk pada satu ayat al-Quran, kita akan dapati bahawa ini bukan benda baru, bahkan telah zaman-berzaman manusia mengharapkan perkara-perkara ajaib untuk menambahkan keimanannya pada Allah.

“Dan ingatlah ketika kamu berkata, “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sebelum kami melihat Allah dengan jelas,” maka halilintar menyambarmu, sedang kamu menyaksikan.”
(Al-Baqarah 2:55, page 8)

Ayat ni imbas kembali permintaan Bani Israel kepada Nabi Musa a.s semasa Musa membawa ajaran Allah kepada mereka. So, nampak tak? Andai kita menunggu perkara-perkara ajaib untuk menambahkan keimanan kita, maka sama sahaja keimanan kita dengan keimanan Bani Israel.

Sedangkan Allah dah bagi secepuk kat atas dahi kita dalam surah Az-Dzariyat.

“Dan di bumi terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang yakin, dan juga pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memerhatikan?”
(Az-Dzariyat 51:20-21, page 521)

Allah SWT menyuruh manusia melihat ,berfikir & mentadabbur alam seperti langit ,gunung-gunung , siang dan malam , bulan & matahari, binatang & tumbuhan dan pelbagai lagi supaya manusia dapat mengenal kehebatan Allah ,meningkatkan keimanan…

Tetapi ade manusia yg suka kepada fenomena-fenomena pelik seperti kalimah Allah pada badan binatang , pokok kaktus , ikan dan macam-macam lagi …

Adakah fenomena ini dapat meningkatkan keimanan??

Atau sekadar pelik bin Ajaib??

Dan atas pemikiran ini yang mendominasi kita di Malaysia hari ini, maka tak hairanlah pekerjaan sebagai wartawan majalah Mastika tak pernah hilang peluang pekerjaan..
Tak hairan majalah aneh-aneh itu tak pernah muflis dalam cetakan mereka..

Semuanya hanya kerana sindrom malas berfikir yang wujud dalam diri kita hari ini.

“Sungguh pada penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal.
Iaitu orang-orang yang MENGINGAT ALLAH sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan baring, dan mereka MEMIKIRKAN tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Ya Tuhan kami, tidaklah engkau menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka.”
(Ali-Imran 3:190-191, page 75)

Cuba rujuk Quran masing-masing, tengok bahasa Arab, Allah guna ‘Ulul Albab’ pada penghujung ayat 190, yang bermaksud golongan yang berilmu dan berfikir. Cirinya ialah golongan Ulul Albab ini mereka bukan sekadar hanya mengingati Allah, tapi mereka juga adalah golongan yang rajin, tak kenal erti jemu untuk berfikir.

Kan penciptaan siang dan malam, langit dan bumi itu tanda kebesaran Allah bagi ‘orang-orang berfikir’?
Ulul albab..

Kita jadi malas berfikir, hanya tahu nak tengok benda ‘ajaib’ benda mukjizat…
Yang jadi, bukan generasi Ulul Albab, tapi generasi geng penghuni gua jin Ahmad Albab filem P. Ramlee, pernah tengok? Movie apa tajuknya itu?? Saya tak ingat..

Pemikiran sebegini bukan isu baru era abad 20 atau abad 21, tapi memang sudah ada sejak dulu lagi..
Zaman-berzaman. Tak percaya???
Bukab al-Quran, rujuk surah al-Isra’, alahhhhhh, surah yang femes dengan ayat “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”(Ayat 32 surah al-Isra’)

Ok, berbalik kepada perkara asal. Dalam surah al-Isra’:

“Dan mereka berkata, “Kami tidak akan percaya kepadamu (Muhammad) sebelum engkau memancarkan mata air dari bumi untuk kami..
Atau engkau mempunyai sebuah kebun kurma dan anggur, lalu engkau alirkan di celah-celahnya, sungai yang deras alirannya, atau engkau jatuhkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana engkau katakan, Allah dan para malaikat berhadapan muka dengan kami…

Atau engkau mempunyai sebuah rumah dari emas, atau engkau naik ke langit. Dan kami tidak akan mempercayai kenaikan mu itu sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab untuk kami baca…

Katakanlah (Muhammad), “Maha Suci Tuhanku, bukankah aku ini HANYA SEORANG MANUSIA MENJADI RASUL?”
(Al-Isra’ 17: 90 – 93, page 291)

Orang Quraisy zaman Rasulullah SAW pun pernah minta benda-benda pelik bin ajaib, agak gedik di situ, mula-mula minta nak tengok harta Muhammad SAW dulu, selepas itu minta benda-benda grand sikit, nak tengok rumah dari emas..
Pastu dah mula mem-‘babeng’-kan diri, mintak Muhammad SAW jadik Superman, naik ke langit, bawa turun kitab sebijik~~
Duhhhh!!!

Serius ayat ini agak epic!!
Lihat apa Allah ajar pada Muhammad cara nak jawab pada mereka yang tak percaya Muhammad itu rasul…
Rujuk ayat 93, dekat hujung-hujung tu, Allah suruh Muhammad SAW sebut “Subhana Rabbiii..”.
Terkedu dengan permintaan B.E.N.G.O.N.G sedemikian~~

Dan balik pada diri kita supaya membumi dengan apa yang ditulis ini. Kita pelajar medik, lagi senang nak tengok keajaiban apa yang Allah buat..
Sia-sia kita hafal palmaris longus, lengkap insertion dengan origin, innervations lagi, ditambah dengan function pula, tapi tak mampu menambah keimanan kita..

Pernah kita terfikir, kita baru fikir dan gerakkan jari, baru nak perform medial adductor kat pergelangan tangan, tiba-tiba dah jadi..
Rasa nak gerak kaki, terus bergerak, tak lewat sesaat, tak awal sesaat.. Betapa dalam diri kita sendiri Allah cipta sebaik-baik kejadian..

Tak perluhingga nak bedah tengok susunan jari kita yang lima membentuk Alif Lam Lam Ha, Allah~

InsyaALLAH..
Semoga ilmu kita makin menambahkan keimanan kita, bukan makin menjauhkan diri kita..
Nazubillah~

p/s:maaf andai tak tahu sesetengah istilah medik yang saya guna, mungkin Pak Cik Google boleh membantu sedikit sebanyak.