Jenayah Terhadap Kepuasan…

“Aku sibuk…”

Mungkin itulah yang sentiasa terlintas dalam benak fikiran kita. Memang, lebih-lebih lagi lumrah hidup sebagai pelajar perubatan. Malah rasanya, memang bila bergelar pelajar, akan ada dan senantiasa terasa bahawa kita sibuk.

Sibuk dengan mengejar tarikh deadline  itu ini yang perlu disiapkan. Mengejar deretan credit test  yang berderet saban masa, boleh jadi setiap seminggu ada satu, malah boleh jadi ada dua test penting yang perlu diselesaikan dalam masa seminggu, hatta sehari mungkin. Malah kalau ikut pengalaman sendiri, pernah selesaikan 14 test yang terhutang dalam masa seminggu semasa Tahun 1 belajar di sini, gara-gara silap teknik belajar, silap guna sumber rujukan. Deretan test yang gagal, yang akhirnya alhamdulillah berjaya diselesaikan kesemuanya dalam masa seminggu. Hampir-hampir sahaja ‘terhenti’ di tengah jalan dek penangan stress yang menggunung.

Kita merasa sibuk. Tapi, apakah benar kita sibuk?

Al-kisah perjalanan masa

Usai tamat kelas, berkejar-kejar ke perpustakaan, dengan niat untuk mengulang kaji. Tempat duduk dipilih, kerusi ditarik, beg diletak, jaket disangkut pada kerusi. Duduk, mula membuka buku dan membaca bibit-bibit kata yang tersusun pada lembaran kertas.

Tidak sampai 10 minit, terasa sejuk dingin menyelubungi, barangkali mungkin kerna sejuknya angin musim salju di luar sana. Dicapai jaket nipis yang tersangkut pada kerusi, dipakai. Poket jaket diraba, dikeluarkan smartphone, mula menyentuh skrin paparan. Dicari aplikasi yang tersusun pada skrin, klik Facebook. Tersengih tersenyum, membaca post-post terbaru tenttang itu ini. Kemudian tidak cukup sekadar membaca, malah turut meletakkan komen pada itu ini. Kemudian teringat pada buku di atas meja yang terbuka terdedah, kembali meletakkan smartphone kembali ke dalam poket.

Buku itu, ditatap kembali. Dikeluarkan highlighter, segenggam dikeluarkan dari kotak pensil,penuh dengan aneka warna. Hijau, kuning, merah, oren, barangkali cuma yang berwarna hitam yang tiada dalam koleksi.

Buku yang asalnya tadi putih bersih, mula penuh dengan garisan warna hasil torehan highlighter. 

“Lawa nota aku, penuh dengan pelbagai corak.” Mungkin itu yang terdetik dalam hati.

Perut berkeroncong minta diisi, menyeluk saku seluar, dikeluarkan beberapa keping syiling keemasan dan perak. Lapar, siapa tidak lapar, andai pagi hanya sempat menjamah sekeping roti dan seteguk air kosong sebelum berkejar menghambat masa, bas untuk ke fakulti cuma dua kali sejam, dan tepat mengikut jadual tanpa lewat sedikit pun.

Dengan syiling memenuhi genggaman, bangun dan keluar dari perpustakaan, menuju ke mesin menjual snek dan mesin kopi di hujung sudut bangunan. Alang-alang membeli biskut dari mesin makanan, dibeli juga kopi panas, caffein shot untuk mengelakkan mengantuk itu penting, tahu?

Makan, dan minum. Sambil pada masa sama, mata masih tertacap pada helaian nota dan buku yang mula berselerak di atas meja.

Chlamida trachomatis is responsible for trachoma…”

Trachoma? Ahhh, apakah itu?

Zip pada beg mula ditarik, dicapai tablet yang disimpan dalam beg. Dikeluarkan, dan setelah menunggu hampir dua minit untuk memasang sambungan pada internet fakulti, dibuka aplikasi web browser, mencari definisi dan contoh apakah itu trachoma. Dibaca pada Wikipedia, dan kemudian merujuk pula pada koleksi gambar-gambar. Puas, faham akhirnya istilah ini. 

Home button ditekan, terlihat pada icon Twitter pada skrin tablet. Ditekan, dan dilayari pula Twitter. Hanyut seketika, barangkali untuk lagi 20 minit, baru fokus ke arah buku dan nota yang berselerak itu kembali.

Jam tangan Casio Edifice di pergelangan tangan dijeling, jarum pendek pada angka 5, jarum panjang pada angka 10. Lagi 8 minit sebelum bas nombor 26 untuk pulang ke kediaman. Mula terbayang pada enaknya nasi yang kan menjadi santapan malam, mungkin sekadar nasi putih, telur goreng dan kicap (budu mungkin juga). Sibuk nak masak set lauk berkuah dan sayur lengkap ni kalau bukan hujung minggu.

Buku ditutup, nota-nota disusun, diletak kembali ke dalam fail. Beg disandang ke atas bahu, berlari-lari anak keluar dari fakulti, menuju ke hentian bas. Pulang ke bilik, meneruskan agenda di malam hari, barangkali sebagai seorang ‘pelajar’, yang sering dikatakan agak ‘sibuk’!

Jenayah pada kepuasan

Mungkin susunan plot penceritaan di atas itu tidaklah berlaku seratus peratus sama dengan apa yang diungkapkan. Tapi pernahkan berlaku, secara realitinya?

Pada satu petang itu, di perpustakaan fakulti itu, boleh berlaku satu ‘jenayah’ kecil yang tidak nampak pada mata kasar, tidak tertakluk pada undang-undang bertulis, boleh berlaku dengan biasa dan dianggap normal. Malah lebih menduka citakan, bila 2 jam yang berlalu di perpustakaan itu, boleh terasa berpuas hati, kerna dalam masa 2 jam itu, telah berjaya mengulangkaji pelajaran.

Itu belum lagi masuk dalam isu belajar di rumah/bilik, di hadapan komputer ataupun laptop, dengan buku-buku dan nota di atas meja, tapi sekejap-sekejap layari YouTube, tab pada Google Chrome atau Mozilla Firefox penuh dengan Facebook, Twitter, page-page so-called islamik yang dibuat oleh pihak itu, pihak ini, ustaz itu, ustazah ini.

Dua tiga jam mengulangkaji, belajar, rupa-rupanya bila dikira secara tepat, hanya setengah jam yang betul-betul fokus, lagi baki entah terbang ke mana, hanyut pada sang teknologi di depan mata. Himpunan gadjet-gadjet serba canggih yang dilaburkan wang padanya, katanya untuk memudahkan urusan pengajian, akhirnya turut sama memberi liabilit dalam pengurusan masa.

Dan sekali lagi, itu belum lagi dikira pada hujung minggu, dengan semangat menanti hujung minggu, merancang untuk mengemaskan nota subjek dan topik itu ini, tapi akhirnya terbarai pada qada’ tidur dan melayan lambakan filem-filem untuk mencari ketenangan dari stress yang terhimpun sepanjang minggu, katanya.

Rehat itu, tidak salah. Facebook dan Twitter itu juga tidak salah, tapi yang bersalah pada diri yang melayari dan menikmati kesemua itu bukan pada masa yang sesuai, bukan pada waktu yang sesuai. Tidak berfokus!

Kemudian, bila diajak untuk bersosial itu ini, beraktiviti itu ini, maka alasan mudah yang diberi adalah, “Maaf, aku sibuk!”

Antara perkara yang perlu sentiasa dimuhasabahkan dalam diri adalah, apakah benar kita ini betul-betul sibuk, atau sebenarnya ada sesuatu dalam diri yang tidak kena, mudah hilang fokus, kurang disiplin, atau apa?

Jangan kelak terasa berpuas hati, merasakan seoalah-olah segala masa telah dimanfaatkan, rupa-rupanya bila diteliti, itu hanyalah sebuah jenayah terhadap diri sendiri, merasa berpuas hati, tapi sebenarnya hasilnya tiada.

Fokus, bagaimanakah telah istilah itu dicapai dalam diri?
Berlaku jujurlah pada diri dalam bermuhasabah tentang ini.

Jenayah terhadap kepuasan, tidak meninggalkan kesan yang boleh dilihat secara kasar.

Jenayah terhadap kepuasan, tidak meninggalkan kesan yang boleh dilihat secara kasar.

*************************************************

Bukan bermaksud bila menulis tentang ini, maka diri inilah yang paling sempurna, paling berfokus dalam setiap gerak kerja yang dilakukan.
Malah mungkin diri yang menulis inilah yang paling teruk, sebab itu menulis, menulis sebagai satu muhasabah terhadap diri sendiri.

Menulis, untuk muhasabah bersama, bahawa kadang-kadang hingga tidak terurusnya diri kerna merasakan diri terlalu sibuk, sebenarnya kalau disusun secara elok dan dilaksanakan dengan penuh berfokus, sebenarnya ada lebihan masa yang boleh dimanfaatkan untuk dinikmati dan meraikan emosi diri.

Jujur pada diri, menjadi raja ke atas diri sendiri itu sebenarnya payah, tahu?
Ubah…

Ikram Mohd Noor @ sayembarajalanan.wordpress.com

Berhenti Sejenak, Menekan ‘Pause Button’…

Bila facebook yang asalnya dibuat untuk memberi kepentingan, tapi mula menjadi liabiliti kepada pengurusan masa, maka berpuasalah dari facebook.

Bila tweeter yang asalnya dibuat untuk keep-in-touch dengan orang lain, tapi mula menjadi liabiliti dalam pengurusan emosi, maka deactivate sekejap untuk seminggu dua pun tak mengapa.

Bila sang gadget yang dilabur padanya wang-wang yang bernilai difikir untuk kemudahan gerak kerja, tapi mula membawa diri terabai entah ke mana semasa kelas, semasa bersosial, maka simpan sekejap dan beralih kepada gadjet asas pun tak mengapa, walau hanya Nokia 1480 sekadar skrin hitam putih.

Carilah ‘pause button’, kembalikan anak muda yang ‘innocent’ itu ke dalam diri~

6596966-pause-button-3d-red-glossy-metallic

Mak Cik Tua dan Nový Zákon…

Pintu ‘chapel’ di hospital itu saya buka, dan kemudian ada seorang mak cik tua sedang duduk di atas kerusi yang tersusun mengikut dinding. Mengambil nafas sejenak, setelah berjalan laju-laju mengejar masa, kerana senggang waktu antara kuliah subjek Psychology dan praktikal hanya 15 minit. Jam Edifice Casio Red Bull Edition dipergelangan tangan dijeling, dah pukul 1.50 petang.

Mak cik tua itu kembali memandang pada lembaran buku kertas putih kekuningan itu, yang kulitnya keras dan berwarna hijau, setelah memberi satu senyuman kepada saya. “Nový Zákon”, tertulis tulisan keemasan pada buku itu, dalam bahasa Englishnya, “New Testament”. Tak tahu? ok itu nama dia Bible.

Janggal, saya berkira-kira sama ada untuk meneruskan solat Zohor atau keluar dan kembali ke kelas, solat Zohor selepas habis praktikal kira-kira jam 3 petang. Ahhh, mana mungkin, ada risiko untuk terbabas di situ memandangkan musim sejuk yang kian menghampiri, waktu Asar akan masuk seawal jam 3.30 petang!!!

Beg Deuter Giga hitam yang digalas diletakkan di hadapan, dan tanpa berfikir panjang, takbir rakaat pertama diangkat. Mak cik tua itu yang tadinya khusyuk membaca Bible di tangannya, berhenti seketika dan memandang saya yang sedang solat. Manakan tidak terasa janggal, saya solat betul-betul di hadapan mak cik itu, sebab ruang ‘chapel’ yang  disediakan hanya seluas bilik tidur rumah teres!

Usai memberi salam, bergegas saya bangun untuk mendapatkan beg dan mengejar waktu, memandangkan kelas akan bermula dalam masa 5 minit.

“May I ask you?”

Suara lembut itu menyapa, sedikit saya terkejut. Manakan tidak, berjumpa dengan orang sekitar Olomouc yang tahu berbahasa English itu adalah satu benda yang agak payah, dan lebih jarang sekali berlaku yang boleh berbahasa English itu adalah dari kalangan orang-orang tua.

“Yes..”, sapa saya.

“Where are you come from?”

“Malaysia.”, balas saya sambil mendekatinya.

“That is such far away from here.”, katanya sambil menutup buku Novy Zakon yang dipegangnya.

“I’ll pray to God to help you, to solve your problem, may God bless you.”

Terkesima seketika. Tiada lafaz mampu diungkapkan pada lidah, selain memberikan satu senyuman, dan menyebut, “Thank you.”

” Na shledanou!”, sapa saya buat kali terakhir sebelum berlalu pergi…

————————————————————————————-

Menulis tentang kisah ini, kerna pada saya ada nilai tersendiri dalam kekalutan ribut sosial yang melanda tanah air sendiri tentang isu kebenaran oleh orang Kristian untuk menggunakan perkataan kalimah Allah pada edaran pihak gereja.

Tidak mahu mengulas tentang itu, cuma satu pesannya. Andai kes telah menang di mahkamah, jangan pula tergadai akhlak kita dalam merespon isu ini.

Bimbang yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran, yang dalam reban pula terlepas keluar!

969773_534542749916859_1709240701_n

Olomouc, walau tidak moden seperti lokaliti pelajar Malaysia yang lain, tapi ada kisah tersendiri.

sumber gambar

  • Chapel – tempat untuk aktiviti keagamaan, kebiasaannya di hospital saiznya agak kecil. Disinonimkan dengan kristian.
  • New Testament – Old Testament dan New Testament membentuk Bible.
  • Na shledanou – sebutan ‘Selamat Tinggal’ dalam bahasa Czech.

Esok Itu Apa?

realiti jasad masih di Olomouc, tapi hakikat fikir dan mimpi entah menerawang ke daerah mana.
membiar masa berdetik, supaya membawa segala perancangan yang disusun kan membuah hasil yang paling terbaik untuk semua.

menunggu itu ternanti-nanti, yang pasti segala saat yang bergerak kan tiba pasti.
cuma yang berubah mungkin pada latar, latar insan yang membentuk masyarakat, latar masa yang mungkin mana-mana yang terbaik.

Allah sentiasa ada plan terbaik. berusaha sehabis baik,
kadang-kadang disangka yang hitam itu kelam, rupa-rupanya yang kelam itu membawa tenang damai untuk kerehatan tidur.
kadang-kadang disangka yang cerah itu memeritkan mata, tapi yang cerah itu membawa jelas dalam penglihatan.

walau apa berlaku pada hari ini, pahitnya, manisnya, peritnya, jangan biarkan hari esok dan hari-hari mendatang, apatah lagi tahun-tahun mendatang, kosong tanpa sebuah perancangan.
merancang agenda hari-hari mendatang, rancang dan usahakan sehabis baik.
kerna tidak mungkin seorang mukmin itu mampu mendepani hari esok tanpa sebarang perancangan.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok, dan bertaqwalah kepada Allah.
Sungguh Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.”
(al-Hasyr 59:18)

 

Usaha: Antara Mencicip Atau Menggenggam?

antara cicipan kata-kata yang dicubit, yang disangka adalah segenggam.
antara usaha endah tak endah, yang diharap adalah sempurna?

antara kalah bergaya atau menang tanpa maruah, bukan ukuran luar yang ditakar, tapi empunya diri yang berusaha tahu di timbangan mana yang berat dan penuh.

hidup ini taklah semudah yang dicitakan, namun tidaklah serabut andai faham
segala yang sedang menyelubungi diri.
andai segalanya mudah dan senang, apa pula definisi klimaks dalam plot sebuah kehidupan?

senyum itu penting, tahu?

Epilog Sang Teknologi

sorotan kemampuan untuk bertahan, petanda nazaknya hanya mampu 2 jam.
antara yang hebat di mata, indah di pegang, tapi fungsi sudah hilang dihambatan masa.
terdampar sisa sebuah sia-sia, menunggu lupus di makan usia.

yang dihantar, lewatnya tiba.
yang berhubung, sepi tiada jawapan.
yang panas, hilang tiada kawalan.

epilog kehidupan Samsung Galaxy S2 yang sudah berusia 2 tahun, rosak dan hilang fungsi sebagai sebuah henset.
ditalkin tanpa suara, tanpa jemaah, hanya sedih dan kecamuk jiwa yang berlarutan..

(adeiiiih, henset aku)

*epilog = peristiwa akhir yang menyelesaikan keseluruhan kisah

Natijah Sebuah Tergesa-Gesa…

kemuakan dengan pembodohan intelek.
apa disangka segala ilmu letaknya di internet. internet itu punya banyak info,tapi bukan asas rujukan segala ilmu~

jangan disangka dengan membaca satu dua artikel, maka merasa kita sudah faham isu itu.
jangan hanya tengok 2 3 video ceramah perbahasan agama, maka disangka kita sudah faqih cabang itu..

kefahaman sebuah ilmu itu belajar tanpa henti, beransur-ansur dengan penuh sabar..
bukan tergesa-gesa dengan ‘quote’ itu ini sesuka hati.

apa terlupa frasa “Aku Tidak Tahu” itu adalah satu cabang keilmuan?
iya, cabang ilmu yang memelihara kesucian dan kesahihan ilmu dari tercemar dengan sikap yang tergesa-gesa dan gemar menagih hasil dengan pantas…

ingin tahu tentang hadis, bertanya pada orang yang ahli hadis..
iya, mungkin ada orang yang bukan ahli boleh menjawab, tapi pendetailannya takkan sama..

ingin bertahu tentang alkisah apa itu vaksin untuk kanak-kanak, bertanya pada doktor..
bertanya pada jiran sebelah yang bukan ahli, yang hanya dengar pada cakap-cakap orang, yang rujukannya entah artikel dikutip dari mana, maka yang terbit adalah sikap tergesa-gesa..

tahu itu banyak, tapi faham itu belum tentu.
isunya bukan lagi malas menambah ilmu, tapi malas fikir..
sikap acuh tak acuh pada sebuah kebenaran, tergesa-gesa dan mahu hasil cepat.

——————————————————————————-

bertanya pada orang yang ahli..
“…maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”
(An-Nahl 16:43, page 272)

49:6