Mak Cik Tua dan Nový Zákon…

Pintu ‘chapel’ di hospital itu saya buka, dan kemudian ada seorang mak cik tua sedang duduk di atas kerusi yang tersusun mengikut dinding. Mengambil nafas sejenak, setelah berjalan laju-laju mengejar masa, kerana senggang waktu antara kuliah subjek Psychology dan praktikal hanya 15 minit. Jam Edifice Casio Red Bull Edition dipergelangan tangan dijeling, dah pukul 1.50 petang.

Mak cik tua itu kembali memandang pada lembaran buku kertas putih kekuningan itu, yang kulitnya keras dan berwarna hijau, setelah memberi satu senyuman kepada saya. “Nový Zákon”, tertulis tulisan keemasan pada buku itu, dalam bahasa Englishnya, “New Testament”. Tak tahu? ok itu nama dia Bible.

Janggal, saya berkira-kira sama ada untuk meneruskan solat Zohor atau keluar dan kembali ke kelas, solat Zohor selepas habis praktikal kira-kira jam 3 petang. Ahhh, mana mungkin, ada risiko untuk terbabas di situ memandangkan musim sejuk yang kian menghampiri, waktu Asar akan masuk seawal jam 3.30 petang!!!

Beg Deuter Giga hitam yang digalas diletakkan di hadapan, dan tanpa berfikir panjang, takbir rakaat pertama diangkat. Mak cik tua itu yang tadinya khusyuk membaca Bible di tangannya, berhenti seketika dan memandang saya yang sedang solat. Manakan tidak terasa janggal, saya solat betul-betul di hadapan mak cik itu, sebab ruang ‘chapel’ yang  disediakan hanya seluas bilik tidur rumah teres!

Usai memberi salam, bergegas saya bangun untuk mendapatkan beg dan mengejar waktu, memandangkan kelas akan bermula dalam masa 5 minit.

“May I ask you?”

Suara lembut itu menyapa, sedikit saya terkejut. Manakan tidak, berjumpa dengan orang sekitar Olomouc yang tahu berbahasa English itu adalah satu benda yang agak payah, dan lebih jarang sekali berlaku yang boleh berbahasa English itu adalah dari kalangan orang-orang tua.

“Yes..”, sapa saya.

“Where are you come from?”

“Malaysia.”, balas saya sambil mendekatinya.

“That is such far away from here.”, katanya sambil menutup buku Novy Zakon yang dipegangnya.

“I’ll pray to God to help you, to solve your problem, may God bless you.”

Terkesima seketika. Tiada lafaz mampu diungkapkan pada lidah, selain memberikan satu senyuman, dan menyebut, “Thank you.”

” Na shledanou!”, sapa saya buat kali terakhir sebelum berlalu pergi…

————————————————————————————-

Menulis tentang kisah ini, kerna pada saya ada nilai tersendiri dalam kekalutan ribut sosial yang melanda tanah air sendiri tentang isu kebenaran oleh orang Kristian untuk menggunakan perkataan kalimah Allah pada edaran pihak gereja.

Tidak mahu mengulas tentang itu, cuma satu pesannya. Andai kes telah menang di mahkamah, jangan pula tergadai akhlak kita dalam merespon isu ini.

Bimbang yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran, yang dalam reban pula terlepas keluar!

969773_534542749916859_1709240701_n

Olomouc, walau tidak moden seperti lokaliti pelajar Malaysia yang lain, tapi ada kisah tersendiri.

sumber gambar

  • Chapel – tempat untuk aktiviti keagamaan, kebiasaannya di hospital saiznya agak kecil. Disinonimkan dengan kristian.
  • New Testament – Old Testament dan New Testament membentuk Bible.
  • Na shledanou – sebutan ‘Selamat Tinggal’ dalam bahasa Czech.