Jenayah Terhadap Kepuasan…

“Aku sibuk…”

Mungkin itulah yang sentiasa terlintas dalam benak fikiran kita. Memang, lebih-lebih lagi lumrah hidup sebagai pelajar perubatan. Malah rasanya, memang bila bergelar pelajar, akan ada dan senantiasa terasa bahawa kita sibuk.

Sibuk dengan mengejar tarikh deadline  itu ini yang perlu disiapkan. Mengejar deretan credit test  yang berderet saban masa, boleh jadi setiap seminggu ada satu, malah boleh jadi ada dua test penting yang perlu diselesaikan dalam masa seminggu, hatta sehari mungkin. Malah kalau ikut pengalaman sendiri, pernah selesaikan 14 test yang terhutang dalam masa seminggu semasa Tahun 1 belajar di sini, gara-gara silap teknik belajar, silap guna sumber rujukan. Deretan test yang gagal, yang akhirnya alhamdulillah berjaya diselesaikan kesemuanya dalam masa seminggu. Hampir-hampir sahaja ‘terhenti’ di tengah jalan dek penangan stress yang menggunung.

Kita merasa sibuk. Tapi, apakah benar kita sibuk?

Al-kisah perjalanan masa

Usai tamat kelas, berkejar-kejar ke perpustakaan, dengan niat untuk mengulang kaji. Tempat duduk dipilih, kerusi ditarik, beg diletak, jaket disangkut pada kerusi. Duduk, mula membuka buku dan membaca bibit-bibit kata yang tersusun pada lembaran kertas.

Tidak sampai 10 minit, terasa sejuk dingin menyelubungi, barangkali mungkin kerna sejuknya angin musim salju di luar sana. Dicapai jaket nipis yang tersangkut pada kerusi, dipakai. Poket jaket diraba, dikeluarkan smartphone, mula menyentuh skrin paparan. Dicari aplikasi yang tersusun pada skrin, klik Facebook. Tersengih tersenyum, membaca post-post terbaru tenttang itu ini. Kemudian tidak cukup sekadar membaca, malah turut meletakkan komen pada itu ini. Kemudian teringat pada buku di atas meja yang terbuka terdedah, kembali meletakkan smartphone kembali ke dalam poket.

Buku itu, ditatap kembali. Dikeluarkan highlighter, segenggam dikeluarkan dari kotak pensil,penuh dengan aneka warna. Hijau, kuning, merah, oren, barangkali cuma yang berwarna hitam yang tiada dalam koleksi.

Buku yang asalnya tadi putih bersih, mula penuh dengan garisan warna hasil torehan highlighter. 

“Lawa nota aku, penuh dengan pelbagai corak.” Mungkin itu yang terdetik dalam hati.

Perut berkeroncong minta diisi, menyeluk saku seluar, dikeluarkan beberapa keping syiling keemasan dan perak. Lapar, siapa tidak lapar, andai pagi hanya sempat menjamah sekeping roti dan seteguk air kosong sebelum berkejar menghambat masa, bas untuk ke fakulti cuma dua kali sejam, dan tepat mengikut jadual tanpa lewat sedikit pun.

Dengan syiling memenuhi genggaman, bangun dan keluar dari perpustakaan, menuju ke mesin menjual snek dan mesin kopi di hujung sudut bangunan. Alang-alang membeli biskut dari mesin makanan, dibeli juga kopi panas, caffein shot untuk mengelakkan mengantuk itu penting, tahu?

Makan, dan minum. Sambil pada masa sama, mata masih tertacap pada helaian nota dan buku yang mula berselerak di atas meja.

Chlamida trachomatis is responsible for trachoma…”

Trachoma? Ahhh, apakah itu?

Zip pada beg mula ditarik, dicapai tablet yang disimpan dalam beg. Dikeluarkan, dan setelah menunggu hampir dua minit untuk memasang sambungan pada internet fakulti, dibuka aplikasi web browser, mencari definisi dan contoh apakah itu trachoma. Dibaca pada Wikipedia, dan kemudian merujuk pula pada koleksi gambar-gambar. Puas, faham akhirnya istilah ini. 

Home button ditekan, terlihat pada icon Twitter pada skrin tablet. Ditekan, dan dilayari pula Twitter. Hanyut seketika, barangkali untuk lagi 20 minit, baru fokus ke arah buku dan nota yang berselerak itu kembali.

Jam tangan Casio Edifice di pergelangan tangan dijeling, jarum pendek pada angka 5, jarum panjang pada angka 10. Lagi 8 minit sebelum bas nombor 26 untuk pulang ke kediaman. Mula terbayang pada enaknya nasi yang kan menjadi santapan malam, mungkin sekadar nasi putih, telur goreng dan kicap (budu mungkin juga). Sibuk nak masak set lauk berkuah dan sayur lengkap ni kalau bukan hujung minggu.

Buku ditutup, nota-nota disusun, diletak kembali ke dalam fail. Beg disandang ke atas bahu, berlari-lari anak keluar dari fakulti, menuju ke hentian bas. Pulang ke bilik, meneruskan agenda di malam hari, barangkali sebagai seorang ‘pelajar’, yang sering dikatakan agak ‘sibuk’!

Jenayah pada kepuasan

Mungkin susunan plot penceritaan di atas itu tidaklah berlaku seratus peratus sama dengan apa yang diungkapkan. Tapi pernahkan berlaku, secara realitinya?

Pada satu petang itu, di perpustakaan fakulti itu, boleh berlaku satu ‘jenayah’ kecil yang tidak nampak pada mata kasar, tidak tertakluk pada undang-undang bertulis, boleh berlaku dengan biasa dan dianggap normal. Malah lebih menduka citakan, bila 2 jam yang berlalu di perpustakaan itu, boleh terasa berpuas hati, kerna dalam masa 2 jam itu, telah berjaya mengulangkaji pelajaran.

Itu belum lagi masuk dalam isu belajar di rumah/bilik, di hadapan komputer ataupun laptop, dengan buku-buku dan nota di atas meja, tapi sekejap-sekejap layari YouTube, tab pada Google Chrome atau Mozilla Firefox penuh dengan Facebook, Twitter, page-page so-called islamik yang dibuat oleh pihak itu, pihak ini, ustaz itu, ustazah ini.

Dua tiga jam mengulangkaji, belajar, rupa-rupanya bila dikira secara tepat, hanya setengah jam yang betul-betul fokus, lagi baki entah terbang ke mana, hanyut pada sang teknologi di depan mata. Himpunan gadjet-gadjet serba canggih yang dilaburkan wang padanya, katanya untuk memudahkan urusan pengajian, akhirnya turut sama memberi liabilit dalam pengurusan masa.

Dan sekali lagi, itu belum lagi dikira pada hujung minggu, dengan semangat menanti hujung minggu, merancang untuk mengemaskan nota subjek dan topik itu ini, tapi akhirnya terbarai pada qada’ tidur dan melayan lambakan filem-filem untuk mencari ketenangan dari stress yang terhimpun sepanjang minggu, katanya.

Rehat itu, tidak salah. Facebook dan Twitter itu juga tidak salah, tapi yang bersalah pada diri yang melayari dan menikmati kesemua itu bukan pada masa yang sesuai, bukan pada waktu yang sesuai. Tidak berfokus!

Kemudian, bila diajak untuk bersosial itu ini, beraktiviti itu ini, maka alasan mudah yang diberi adalah, “Maaf, aku sibuk!”

Antara perkara yang perlu sentiasa dimuhasabahkan dalam diri adalah, apakah benar kita ini betul-betul sibuk, atau sebenarnya ada sesuatu dalam diri yang tidak kena, mudah hilang fokus, kurang disiplin, atau apa?

Jangan kelak terasa berpuas hati, merasakan seoalah-olah segala masa telah dimanfaatkan, rupa-rupanya bila diteliti, itu hanyalah sebuah jenayah terhadap diri sendiri, merasa berpuas hati, tapi sebenarnya hasilnya tiada.

Fokus, bagaimanakah telah istilah itu dicapai dalam diri?
Berlaku jujurlah pada diri dalam bermuhasabah tentang ini.

Jenayah terhadap kepuasan, tidak meninggalkan kesan yang boleh dilihat secara kasar.

Jenayah terhadap kepuasan, tidak meninggalkan kesan yang boleh dilihat secara kasar.

*************************************************

Bukan bermaksud bila menulis tentang ini, maka diri inilah yang paling sempurna, paling berfokus dalam setiap gerak kerja yang dilakukan.
Malah mungkin diri yang menulis inilah yang paling teruk, sebab itu menulis, menulis sebagai satu muhasabah terhadap diri sendiri.

Menulis, untuk muhasabah bersama, bahawa kadang-kadang hingga tidak terurusnya diri kerna merasakan diri terlalu sibuk, sebenarnya kalau disusun secara elok dan dilaksanakan dengan penuh berfokus, sebenarnya ada lebihan masa yang boleh dimanfaatkan untuk dinikmati dan meraikan emosi diri.

Jujur pada diri, menjadi raja ke atas diri sendiri itu sebenarnya payah, tahu?
Ubah…

Ikram Mohd Noor @ sayembarajalanan.wordpress.com

Travelog Budak Gemuk : Angka-Angka Itu…

Suasana di wad Hospital Putrajaya malam itu agak riuh. Riuh dengan suara kanak-kanak menangis, riuh dengan suara seorang lelaki yang merintih kesakitan dek kerana terjatuh dari tingkat 1 bangunan. Ditambah lagi dengan kekalutan nurse yang berlari ke sana ke mari dalam keadaan kecemasan itu.

Anak muda itu terlantar. Terbaring di atas katil besi berselimut putih yang masih bersih. Sebotol air tergantung di sebelah katil. Wayarnya menjalar ke bawah dan bersambung dengan jarum yang telah terbenam di belakang tapak tangannya.

2 jam yang lalu, anak muda itu dikejarkan ke hospital. Kerna tiba-tiba ada darah yang keluar dari hidungnya, dan darah juga hadir dalam urinnya. Tekanan darahnya pada awal-awal diambil mencatat setinggi 160/100mmg Hh (normal adalah 120/80mm Hg). Anak muda itu sedar, sisa-sisa malam yang masih berbaki akan dihabiskan di dalam wad hospital. Cuba melelapkan mata, tapi apakan daya, kerunsingan yang bermain dalam fikiran menghalang diri dari terlena. Letih, walau letih dengan ke sana ke sini sejam yang lalu untuk pelbagai ujian. Ujian air kencing, ujian x-ray, dan bermacam-macam lagi. Tapi sedikit,  keletihan yang terkumpul itu tidak melelapkan matanya dengan lena, walau dia terjelepuk di atas katil sebagaimana pesakit yang lain. Fikirannya menerawang dalam kedinginan pendingin hawa hospital, membawa fikiran jauh melayang memikirkan dirinya sendiri…

Terlantar di wad kecemasan Hospital Putrajaya, (0.9% NaCl solution sedang dimasukkan ke dalam badan)

Terlantar di wad kecemasan Hospital Putrajaya, (0.9% NaCl solution sedang dimasukkan ke dalam badan)

—————————————————————————————————————

Seorang anak muda berumur 20 tahun, dengan berat badan mencapai 106kg. Tekanan darah setinggi 140/90mm Hg. Kadar denyutan nadi (pulse rate) sentiasa terdiri daripada 3 angka, serendah-rendah 100 denyutan per minit dalam keadaan relax, hingga setinggi 110 denyutan per minit. Saiz seluar sebesar 41, andai seluar di sesetengah pasaran tidak muat 41, terpaksa yang bersaiz 42 menjadi koleksi di rak pakaian di bilik.

Malam-malam yang menghiasi hari-harinya mudah diisi dengan gejala pening, pening dalam erti kata yang sebenar, pening yang membawa diri terbaring di atas katil, menghilangkan manfaatan masa untuk belajar dan menyiapkan tugasan itu ini, hambatan dateline untuk Extended Essay (EE) sebanyak 3000 patah perkataan, hambatan esei Theory of Knowledge(TOK) yang perlu difalsafahkan segalanya dalam 1600 patah perkataan, hambatan lab report subjek Biology dan Chemistry yang perlu dihantar setiap minggu, dan kekangan masa untuk duduk menghadap buku rujukan untuk ditelaah dalam sisa-sisa hari sebelum final exam bagi International Baccalaureate (IB) di Kolej Mara Banting.

Setiap hari Rabu, seawal 8 pagi, anak muda ni terpaksa ke klinik kesihatan Bukit Changgang untuk sesi medical check-up tekanan darahnya. Sering, ekspresi terkejut pada raut wajah pegawai kesihatan yang memeriksa tekanan darahnya itu umpama sudah lali baginya, tiada lagi rasa kurang senang. Separuh dos pil darah tinggi yang dipotong dua dan sebotol air kosong menjadi penutup menu makan tengah harinya.

Seawal umur 20 tahun, dengan keadaan fizikal diri yang bukan biasa-biasa. Langsung tidak berstamina kerna segala aktiviti siang harinya perlu di-limitkan semata-mata tidak mahu menanggung seksa sakit kepala dan pening di malam hari dek tekanan darah yang kan melambung tinggi hanya kerna aktiviti sedikit lasak yang memenuhi masa di petang hari.

Seawal umur 20 tahun, fiziologi badannya langsung tidak menggambar diri umpama seorang anak muda yang baru ingin kenal dunia. Tekanan darahnya, berat badannya, denyutan nadinya, ukur lilit pinggangnya, dan segala sakit yang perlu ditanggung, seolah-olah mampu mengalahkan seorang pak cik tua yang berumur 60 tahun.

Apakah mahu mati sebelum usia cecah 40 tahun?

Teringat coretan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam blognya sebelum ini:

“Mati kerana terlibat dalam kemalangan, mati kerana ditimpa bencana alam, itu adalah mati yang tidak dapat dielakkan, mati dengan mengejut. Tapi mati disebabkan oleh kegemukan, itu adalah jenayah terhadap diri sendiri. Membunuh diri!

Umur baru bertatih dengan angka 2 dihadapan, baru bertatih dengan definisi kenikmatan jalan dakwah, tapi dicacatkan pula dengan pernah dimasukkan ke Hospital Putrajaya satu malam kerna hidung berdarah, dan darah dalam urin. Semuanya gara-gara tekanan darah yang terlajak laju dari fizikal badan, apakah mahu ditimpa serangan angin ahmar (stoke) menjelang umur 30 tahun?

Kegilaan apakah ini?

Kegemukan. Ada setengah orang, kegemukan itu tiada sebarang kesan buruk pada dirinya. Tekanan darahnya normal, degupan jantungnya normal, kandungan gula dalam darahnya normal, keadaan dirinya normal, dan segalanya adalah normal untuk dirinya.

Tapi kegemukan yang pernah dialami ini, bukan setakat membantutkan aktiviti harian, malah hampir-hampir sahaja meragut nyawanya bersama pergi.

Apakah mahu membunuh diri?

Nota Ringkas:

Siri penulisan dalam beberapa artikel akan datang, tajuknya akan dimulakan dengan ‘Travelog Budak Gemuk’. Satu penulisan coretan diri dan pengalaman diri dalam membawa diri pulang ke asal, pulang ke pangkal jalan sebagaimana manusia lain yang sihat dalam erti kata sihat yang sebenar.

Sekadar coretan diri ini, untuk dikongsi bersama, untuk dinilai bersama, dan sama-sama kita memajukan diri. Dan semestinya, untuk motivasi diri ini sendiri kerna jalanan membawa diri ini adalah satu jalan yang masih panjang. Kiranya penulisan boleh menjadi satu rujukan jiwa sendiri tatkala diri mula terasa letih dan bibit putus asa mula berlegar dalam kepala.

Doakan, kerna jalanan ini masih panjang. Alhamdulillah atas segala usaha yang diperjuangkan, kebaikan dan hasil yang sedikit sudah berjaya dituai, dan ingin dikongsi buat kita bersama, buat bekalan kita bersama.

Perjalanan membuang lemak ‘jahat’ yang membalut fizikal diri, bukan perjalanan sekadar menguruskan diri, tapi satu perjalanan membaiki iman dan ketaqwaan. Travelog yang masih panjang.

Travelog Seorang Budak Gemuk…

**bersambung**

—————————————————————————————————————

Kisah sebenar perihal dimasukkan ke Hospital Putrajaya dan retetan perjalanannya boleh dibaca di sini(klik).

Kering di Jalanan Yang Basah…

Di jalanan yang basah ini, kadang-kadang kita tak sedar diri kita sedang kering.

Kering yang bukan sekadar kering, tapi kering kontang.

Iya, tutur bicara mungkin menampakkan kebasahan, tapi kecamuk hati hanya diri yang tahu.

—————————————————————————————————————

Kadang-kadang dalam kita mentangkaskan diri di arena dakwah, kita tidak sedar bahawa ada satu tahap, kita telah mengalami kekeringan. Iya, mungkin dari sudut tutur bicara kita, dari sudut seni penulisan, tampak gah, tampak seolah-olah hampir kepada sempurna. Tapi, dalam diri, kering, kosong, kita tidak sedar diri kita sedang kering di jalanan dakwah ini.

Di manakah silapnya? Di jalanan tarbiyah yang penuh kebasahan hati, tiba-tiba diri kita boleh kering…

Kekeringan hati, bermasalah, atau dalam bahasa yang manja bunyinya, F.U.T.U.R, itu bukan satu benda yang nikmat. Carilah pada keseronokan sementara, tapi manakan mampu menandingi tenangnya hati di kala kita mampu membasahkan hati.

Andai yang menggerakkan kereta itu terletak pada petrolnya, maka jadilah kita hambaNya yang digerak oleh keimanan, bimbang dalam kita melaung itu ini, kita hanya hambar pada semangat. Semangat yang kosong tanpa dilandaskan iman, maka impak utamanya akan berlaku pada tindak tanduk kita, dan pada kosistennya kita pada bergeraknya kita.

Allahurrabi, jangan Engkau tarik hati kami setelah Engkau berikan hidayahMu kepada kami. Jangan engkau biarkan hati kami berseorangan dalam menempuhi jalanan ini.

Futur, bukan berlaku dalam satu malam. Murtad, juga bukan berlaku dalam satu malam. Tapi kesemuanya adalah ‘cumulative’, yang terkumpul sedikit demi sedikit, hingga kemuncaknya ia mempengaruhi keseluruhan pemikiran, tindakan kita, malah hati kita. Maka yang berlaku, kita melarikan diri dari jalanan tarbiyah.

Melarikan diri dari tarbiyah, seolah-olah kita terlupa dalam titisan air mata yang keluar setelah kita sedar siapa kita di Bumi ini suatu ketika dahulu. Terlupa bulu roma yang tertegak semasa awal-awal pengenalan ISK. Terlupa esak tangis kita bila faham legasi Syahadatul Haq. Terlupa, terlupa segalanya…

Maka di kala terlupa kesemua itu, carilah kembali dalam diri, membawa hati pulang menemui Allah. Andai dapat dipastikan di mana puncanya, cantaslah ia sebelum akarnya jauh tertanam merobek hati, menghirup segala kebasahan hati hingga kering kontang diri kita.

Lupakah pada hadis pertama dalam Hadis 40 Imam Nawawi, betapa lelaki itu mudah terpesong niatnya hanya kerna seorang wanita yang dia pertaruhkan hatinya, jiwanya, perasaannya, emosinya?

Kelab Alumni Ikhwah, semoga tidak menyertainya, apatah lagi terlintas dalam hati untuk mendaftarkan keahlian.

Nauzubillah!!!

Trend Penulisan Memaksa…

 Image

“Tolong sebarkan jika anda sayangkan islam!”

“Jika anda sayangkan Islam, sila sebarkan!”

“Awas, maklumat penting. Sebarkan kepada saudara-mara islam yang lain!”

“Klik butang Share jika anda masih cintakan islam.”

Dan banyak lagi susunan kata sedemikian, yang membawa maksud hampir sama dengan statement di atas.

——————————————————————————————————————————————

Lambakan penulisan yang memaksa, sama ada satu kemurnian untuk kita, atau sekadar satu jenis penyampaian nasihat yang memaksa. Hanya memberi kata putus, dan yang lebih menyeramkan, tatkala konsep generalisasi  digunakan.

“Kalau kamu tak buat cara A,
maka kamu adalah golongan B”

Dan dari situ, maka lahirlah golongan-golongan yang hari ini, kebelakangan ini, dan lebih spesifik lagi, pada saat ini, ‘ustaz-ustazah’ yang laju menyentuh butang Share.

“Ahhhh…Sebarkan dulu, sahih dan benar belakang cerita.”

“Ahhh…Cerita ni kisah tentang seorang pelajar Muslim di Amerika yang berdebat dengan seorang paderi kat gereja, ini sunggut mantap! Paderi tu bertanya 50 soalan, dia mampu jawab kesemua itu hanya dengan 6 soalan ajer.”

Sebarkan cepat, lagi cepat lagi bagus!

Aduhaiii…

Seram melihat kepada trend nak hasil cepat-cepat ini. Satu pemahaman yang jenis usaha sikit dan senang, tapi hasil mesti cepat, tanpa mempedulikan ketepatannya. Walaupun pada awalnya, niatnya adalah untuk membaikkan islam.

Dan ini tidak menghairankan ramai antara kita yang terjebak dengan skim cepat kaya, dengan perniagaan MLM, dengan business yang entah dari mana, klik butang sekian-sekian, dapat RM1000. Dan menyedihkan lagi, ada pula yang percaya dengan khabar jenis ini.

Tidak pasti, sama ada ini adalah masalah sikap, atau simpton kepada masalah dalaman yang lebih besar.

——————————————————————————————————————————————

Itu belum lagi dicampur dengan lambakan kisah-kisah ajaib yang sedang tersebar dengan meluas pada masa ini. Dengan penularan kisah satu kem tentera di negara yang ‘entah-berentah namanya’, masuk islam hanya kerana si pegawai atasan yang membuli seorang askar bawahan beragama islam supaya memandu sebuah jip yang tak berenjin, tiba-tiba jip itu bergerak dan meluncur seperti biasa. Dikatakan terkedu semua yang melihat, lantas masuklah islam semuanya.
Dan seperti biasa, sahih atau tidak, itu belakang cerita, sebarkan itu lagi penting, kerna dalam kepala yang berfikir, “Ini baik untuk umat!”

Sedangkan…
Saya ulang sekali lagi, S.E.D.A.N.G.K.A.N..
Allah SWT awal-awal dah bagi satu guide yang agak jelas lagi terang dan bersuluh kepada kita dalam menilai sesuatu berita.

   

Image

“Wahai orang-orang beriman, jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita,
maka TELITILAH KEBENARANNYA,
agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan(gelojoh), yang akhirnya kamu menyesali perbuatan kamu itu!”
(Hujurat 49:6, page 516)

Ada dibincangkan tentang maksud asal ayat ini, dan ianya bukan di-apply hanya untuk orang yang fasik semata-mata, malah untuk kesemua berita, kisah dan segala bentuk khabar yang kita dapat, lebih-lebih lagi apabila ianya adalah khabar angin!
Pesanan untuk kita sendiri, janganlah terlalu gelojoh, terlalu cepat dalam mempercayai sesuatu, kerna islam itu adalah satu jalan hidup yang amat-amatlah mementingkan intelektual umatnya dalam menilai dan berfikir. Secara jelas dalam surah al-Hujurat di atas, kita dapati Allah SWT menyuruh kita teliti dalam segala benda, apatah lagi bila ianya melibatkan orang lain, kerna bimbang kita akan menghukum dalam erti kata lain melabel orang lain hanya kerana sikap kita yang gelojoh, dan akhirnya kita sendiri yang akan menyesal dengan sikap sebegini.

Bila saya pernah usulkan tentang perkara ini suatu ketika dahulu, pernah ada segolongan yang menegur, katanya saya seolah-olah menyusahkan penyebaran hadis. Nauzubillah, tidak sama sekali, bahkan sekali-kali tidak. Tidak pernah terlintas untuk berbuat sedemikian rupa.
Perkara ini dibangkitkan, kerana kita semua rasanya masih baru terasa, dan mungkin ada antara kita yang masih terbaca tentang satu ‘hadis’ yang entah-berentah dari mana sumbernya, dari mana periwayatnya, Bukharikah? Muslimkah? Abu Daudkah? Atau main hentam dengan memilih jalan ikut suka hati.


Image

Tertanya, mat jiwang manakah yang membuat hadis ini?
Kalau dibaca dengan menggunakan hati dan akal yang sejahtera pun kita dapat rasakan ada something wrong di situ.

——————————————————————————————————————————————

Ada yang pernah bertanya, bagaimana seandainya mereka pernah terlajak dalam mengabaikan konsep ini. Pernah tersebar benda-benda yang tidak sahih dan karut-marut ini.

Ada yang pernah bercerita, sewaktu zaman sekolahnya, pernah dapat berita bahawa di Mekah telah berlaku perkara sekian-sekian, menandakan bahawa kiamat akan berlaku dalam beberapa bulan atau dalam beberapa tahun lagi. Dan ramai yang menangis, bertaubat beramai-ramai, tapi tiada seorang pun yang mempertikaikan kesahihan benda itu.

Bagi saya, iya kita sendiri mungkin tidak tahu. Cara kita berfikir, ilmu kita, pengalaman kita, sikap kita, pemahaman kita yang 2-3 tahun terdulu amat berbeza dengan apa yang kita ada sekarang. Yang sudah terlajak terlepas itu biarkan. Cuma dalam keadaan sekarang, kita semakin tahu, kita semakin celik dengan benda-benda sebegini, maka praktikkanlah. Kita membesar, didewasakan oleh masa, dimatangkan oleh pengalaman, kita membaca, dan kita belajar, kan?

Sebab kalau nak bicara perihal kisah dulu-dulu, saya sendiri masih teringat tentang majalah islamik sekolah saya sendiri, dan saya sendiri pernah termasuk dalam golongan-golongan penyumbang kecil-kecilan. Habis kesemua fakta merapu yang pernah ada disiarkan dalam majalah itu. Dan koleksi siri-siri majalah itu, ada beberapa darinya masih tersimpan rapi di rak di rumah saya. Terasa nak bercucuran air mata juga tatkala baca balik apa yang pernah disiarkan dalam majalah itu.

Tapi sebagaimana yang kita perkatakan tadi. Kita semakin membesar, semakin matang, kita belajar. Usah diulang kesilapan-kesilapan lalu. Dan sekarang kita semakin tahu, kita beritahu pula perkara-perkara ini, tentang mengamalkan sikap tabayyun(teliti) kepada sahabat-sahabat kita, kepada keluarga kita, dan kepada siapa sahaja kenalan kita.
Bukan apa, bimbang juga suatu hari nanti, diri saya sendiri, Allah SWT tanya kepada saya, kenapa tidak beritahu perkara ini kepada orang lain? Dan orang lain yang tidak tahu itu, mereka takkan dipersalahkan, sebab mereka tidak tahu.
Tapi bagi kita yang sedar ini, ayuh kita sedarkan orang lain pula. Semoga ini kan menjadi medan amal untuk kita untuk memperbaiki umat. Biarlah dalam sekecil mana usaha yang bercambah dari diri kita, permulaan kepada sesuatu itu adalah datangnya dari niat, kerana Allah dan Rasul.

Memulakan satu perubahan kecil dengan minda yang faham itu sangat-sangat bernilai,  bukan?

p/s: perkataan tabayyun(teliti) itu boleh ditemui dalam ayat 6, surah al-Hujurat di atas sana, disebut sebagai fatabayyanu.

p/ss: antara penulisan yang teliti dan penulisan yang caca merba, kita dapat lihat dan bezakan mana satu antara dua. dari segi menyatakan sumbernya, hujahnya yang tidak melampau, dan banyak lagi…

Abe Am @ Ikram Mohd Noor