Jenayah Terhadap Kepuasan…

“Aku sibuk…”

Mungkin itulah yang sentiasa terlintas dalam benak fikiran kita. Memang, lebih-lebih lagi lumrah hidup sebagai pelajar perubatan. Malah rasanya, memang bila bergelar pelajar, akan ada dan senantiasa terasa bahawa kita sibuk.

Sibuk dengan mengejar tarikh deadline  itu ini yang perlu disiapkan. Mengejar deretan credit test  yang berderet saban masa, boleh jadi setiap seminggu ada satu, malah boleh jadi ada dua test penting yang perlu diselesaikan dalam masa seminggu, hatta sehari mungkin. Malah kalau ikut pengalaman sendiri, pernah selesaikan 14 test yang terhutang dalam masa seminggu semasa Tahun 1 belajar di sini, gara-gara silap teknik belajar, silap guna sumber rujukan. Deretan test yang gagal, yang akhirnya alhamdulillah berjaya diselesaikan kesemuanya dalam masa seminggu. Hampir-hampir sahaja ‘terhenti’ di tengah jalan dek penangan stress yang menggunung.

Kita merasa sibuk. Tapi, apakah benar kita sibuk?

Al-kisah perjalanan masa

Usai tamat kelas, berkejar-kejar ke perpustakaan, dengan niat untuk mengulang kaji. Tempat duduk dipilih, kerusi ditarik, beg diletak, jaket disangkut pada kerusi. Duduk, mula membuka buku dan membaca bibit-bibit kata yang tersusun pada lembaran kertas.

Tidak sampai 10 minit, terasa sejuk dingin menyelubungi, barangkali mungkin kerna sejuknya angin musim salju di luar sana. Dicapai jaket nipis yang tersangkut pada kerusi, dipakai. Poket jaket diraba, dikeluarkan smartphone, mula menyentuh skrin paparan. Dicari aplikasi yang tersusun pada skrin, klik Facebook. Tersengih tersenyum, membaca post-post terbaru tenttang itu ini. Kemudian tidak cukup sekadar membaca, malah turut meletakkan komen pada itu ini. Kemudian teringat pada buku di atas meja yang terbuka terdedah, kembali meletakkan smartphone kembali ke dalam poket.

Buku itu, ditatap kembali. Dikeluarkan highlighter, segenggam dikeluarkan dari kotak pensil,penuh dengan aneka warna. Hijau, kuning, merah, oren, barangkali cuma yang berwarna hitam yang tiada dalam koleksi.

Buku yang asalnya tadi putih bersih, mula penuh dengan garisan warna hasil torehan highlighter. 

“Lawa nota aku, penuh dengan pelbagai corak.” Mungkin itu yang terdetik dalam hati.

Perut berkeroncong minta diisi, menyeluk saku seluar, dikeluarkan beberapa keping syiling keemasan dan perak. Lapar, siapa tidak lapar, andai pagi hanya sempat menjamah sekeping roti dan seteguk air kosong sebelum berkejar menghambat masa, bas untuk ke fakulti cuma dua kali sejam, dan tepat mengikut jadual tanpa lewat sedikit pun.

Dengan syiling memenuhi genggaman, bangun dan keluar dari perpustakaan, menuju ke mesin menjual snek dan mesin kopi di hujung sudut bangunan. Alang-alang membeli biskut dari mesin makanan, dibeli juga kopi panas, caffein shot untuk mengelakkan mengantuk itu penting, tahu?

Makan, dan minum. Sambil pada masa sama, mata masih tertacap pada helaian nota dan buku yang mula berselerak di atas meja.

Chlamida trachomatis is responsible for trachoma…”

Trachoma? Ahhh, apakah itu?

Zip pada beg mula ditarik, dicapai tablet yang disimpan dalam beg. Dikeluarkan, dan setelah menunggu hampir dua minit untuk memasang sambungan pada internet fakulti, dibuka aplikasi web browser, mencari definisi dan contoh apakah itu trachoma. Dibaca pada Wikipedia, dan kemudian merujuk pula pada koleksi gambar-gambar. Puas, faham akhirnya istilah ini. 

Home button ditekan, terlihat pada icon Twitter pada skrin tablet. Ditekan, dan dilayari pula Twitter. Hanyut seketika, barangkali untuk lagi 20 minit, baru fokus ke arah buku dan nota yang berselerak itu kembali.

Jam tangan Casio Edifice di pergelangan tangan dijeling, jarum pendek pada angka 5, jarum panjang pada angka 10. Lagi 8 minit sebelum bas nombor 26 untuk pulang ke kediaman. Mula terbayang pada enaknya nasi yang kan menjadi santapan malam, mungkin sekadar nasi putih, telur goreng dan kicap (budu mungkin juga). Sibuk nak masak set lauk berkuah dan sayur lengkap ni kalau bukan hujung minggu.

Buku ditutup, nota-nota disusun, diletak kembali ke dalam fail. Beg disandang ke atas bahu, berlari-lari anak keluar dari fakulti, menuju ke hentian bas. Pulang ke bilik, meneruskan agenda di malam hari, barangkali sebagai seorang ‘pelajar’, yang sering dikatakan agak ‘sibuk’!

Jenayah pada kepuasan

Mungkin susunan plot penceritaan di atas itu tidaklah berlaku seratus peratus sama dengan apa yang diungkapkan. Tapi pernahkan berlaku, secara realitinya?

Pada satu petang itu, di perpustakaan fakulti itu, boleh berlaku satu ‘jenayah’ kecil yang tidak nampak pada mata kasar, tidak tertakluk pada undang-undang bertulis, boleh berlaku dengan biasa dan dianggap normal. Malah lebih menduka citakan, bila 2 jam yang berlalu di perpustakaan itu, boleh terasa berpuas hati, kerna dalam masa 2 jam itu, telah berjaya mengulangkaji pelajaran.

Itu belum lagi masuk dalam isu belajar di rumah/bilik, di hadapan komputer ataupun laptop, dengan buku-buku dan nota di atas meja, tapi sekejap-sekejap layari YouTube, tab pada Google Chrome atau Mozilla Firefox penuh dengan Facebook, Twitter, page-page so-called islamik yang dibuat oleh pihak itu, pihak ini, ustaz itu, ustazah ini.

Dua tiga jam mengulangkaji, belajar, rupa-rupanya bila dikira secara tepat, hanya setengah jam yang betul-betul fokus, lagi baki entah terbang ke mana, hanyut pada sang teknologi di depan mata. Himpunan gadjet-gadjet serba canggih yang dilaburkan wang padanya, katanya untuk memudahkan urusan pengajian, akhirnya turut sama memberi liabilit dalam pengurusan masa.

Dan sekali lagi, itu belum lagi dikira pada hujung minggu, dengan semangat menanti hujung minggu, merancang untuk mengemaskan nota subjek dan topik itu ini, tapi akhirnya terbarai pada qada’ tidur dan melayan lambakan filem-filem untuk mencari ketenangan dari stress yang terhimpun sepanjang minggu, katanya.

Rehat itu, tidak salah. Facebook dan Twitter itu juga tidak salah, tapi yang bersalah pada diri yang melayari dan menikmati kesemua itu bukan pada masa yang sesuai, bukan pada waktu yang sesuai. Tidak berfokus!

Kemudian, bila diajak untuk bersosial itu ini, beraktiviti itu ini, maka alasan mudah yang diberi adalah, “Maaf, aku sibuk!”

Antara perkara yang perlu sentiasa dimuhasabahkan dalam diri adalah, apakah benar kita ini betul-betul sibuk, atau sebenarnya ada sesuatu dalam diri yang tidak kena, mudah hilang fokus, kurang disiplin, atau apa?

Jangan kelak terasa berpuas hati, merasakan seoalah-olah segala masa telah dimanfaatkan, rupa-rupanya bila diteliti, itu hanyalah sebuah jenayah terhadap diri sendiri, merasa berpuas hati, tapi sebenarnya hasilnya tiada.

Fokus, bagaimanakah telah istilah itu dicapai dalam diri?
Berlaku jujurlah pada diri dalam bermuhasabah tentang ini.

Jenayah terhadap kepuasan, tidak meninggalkan kesan yang boleh dilihat secara kasar.

Jenayah terhadap kepuasan, tidak meninggalkan kesan yang boleh dilihat secara kasar.

*************************************************

Bukan bermaksud bila menulis tentang ini, maka diri inilah yang paling sempurna, paling berfokus dalam setiap gerak kerja yang dilakukan.
Malah mungkin diri yang menulis inilah yang paling teruk, sebab itu menulis, menulis sebagai satu muhasabah terhadap diri sendiri.

Menulis, untuk muhasabah bersama, bahawa kadang-kadang hingga tidak terurusnya diri kerna merasakan diri terlalu sibuk, sebenarnya kalau disusun secara elok dan dilaksanakan dengan penuh berfokus, sebenarnya ada lebihan masa yang boleh dimanfaatkan untuk dinikmati dan meraikan emosi diri.

Jujur pada diri, menjadi raja ke atas diri sendiri itu sebenarnya payah, tahu?
Ubah…

Ikram Mohd Noor @ sayembarajalanan.wordpress.com